Wednesday, May 13, 2009

~~Ibu bapa perlu sokong ko-kurikulum~~

Ibu bapa perlu sokong ko-kurikulum

KUALA LUMPUR: Ibu bapa diminta memberi kerjasama dan sokongan kepada program kokurikulum sama ada pada peringkat prasekolah atau peringkat rendah dan menengah selagi ia tidak keterlaluan sehingga boleh menjejaskan akademik pelajar.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata usaha Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang memberi penekanan kepada aktiviti kokurikulum seharusnya dipuji kerana ia memainkan peranan penting bagi pembangunan kanak-kanak secara holistik.

"Kita akui penekanan terhadap akademik adalah penting, namun jika ia tidak diseimbangkan dengan aktiviti kokurikulum dikhuatiri kanak-kanak berkenaan tidak akan mengecapi erti kehidupan sepenuhnya apabila dewasa kelak," katanya pada majlis penutup Program Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Wilayah Persekutuan 2009 di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek.

Rosmah berkata, selain ibu bapa, guru turut memainkan peranan penting bagi menggalakkan kanak-kanak mengembangkan minat serta bakat mereka melalui aktiviti kokurikulum yang dianjurkan.

Beliau berkata, penganjuran Hari Potensi dengan mengadakan pelbagai aktiviti sukan seperti bola jaring, futsal, gerak rama dan silat mampu menanam semangat bersaing di jiwa setiap kanak-kanak.

"Dengan adanya semangat persaingan ia akan mendorong kanak-kanak untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif. Mereka akan berusaha dan mencari pendekatan terbaik memperbaiki pencapaian diri," katanya.

"Pembangunan modal insan bermula daripada kanak-kanak dan seharusnya ditumpukan pada segenap lapisan tanpa mengira agama, keturunan atau kaum. Proses memajukan negara dan rakyat hendaklah bermula dengan pendidikan awal kanak-kanak," katanya.
sumber : Berita Harian

"BERSAMA MELONJAKKAN PRESTASI PENDIDIKAN"





No comments: